Mixer Tak Cukup Input | (3 – Cabaran PA Sistem – Bahagian 2) | Sistem PA Masjid
Berapa input mixer yang cukup untuk sistem PA masjid dan surau Jumaat? Ramai baru sedar mixer tak cukup input bila ada program besar: nak guna 6 mic, tapi input di mixer ada 5 je. Dalam video ni, Encik Farid dari Muazzin AV kongsi cadangan minimum 8 input, dan terangkan setiap satu untuk apa.
Kenapa satu mic untuk semua tak cukup
Ada surau yang kata cukup dua input: satu azan, satu imam. Kuliah pun guna mic imam. Cara tu boleh jalan, dan kalau kariah berpuas hati, silakan. Tapi setiap mic ada kegunaan sendiri, dan setiap jenis mic ada karakter sendiri: gooseneck, klip, headset, dynamic. Bila setiap kegunaan ada input sendiri, installer boleh tune setiap satu ikut mic tu, dan hasilnya lebih baik.
Satu kesilapan yang biasa: semak sound system guna mic imam sahaja. Mic imam biasanya ada efek reverb atau echo supaya bacaan sedap didengar. Mic kuliah pula perlukan suara yang kering dan jelas. Sebab tu mic kuliah yang selalu kena komplen tak dengar, walaupun mic imam bunyi elok.
8 input minimum untuk masjid dan surau Jumaat
- Mic imam. Kami andaikan satu input. Ada masjid minta dua, contohnya klip dan headset. Sekarang banyak masjid pakai headset supaya imam boleh monitor bacaan sendiri.
- Mic kuliah. Kami sangat cadangkan mic kuliah diasingkan dari mic imam.
- Mic khutbah. Satu atau dua, ikut keselesaan khatib, bajet dan mixer yang digunakan.
- Mic azan. Biasanya azan perlu kuat di menara tapi lebih perlahan di dalam dewan solat. Dengan input sendiri, paras setiap zon boleh diatur berasingan.
- Mic serbaguna. Untuk iqamah, selawat antara rakaat terawih, pengumuman dan takbir pagi raya.
- Wireless handheld pertama. Untuk forum, panel atau moderator.
- Wireless handheld kedua. Untuk ahli panel kedua, soal jawab dari jemaah, atau muslimat di hujung dewan. Pastikan lokasi penerima sesuai supaya isyarat tak putus-putus.
- Input audio. Untuk bacaan Al-Quran yang dipasang sebelum Maghrib atau Subuh, atau bila ada kematian.
Kiraan 8 ni bila input audio dihantar dalam mono. Kalau audio dihantar stereo, perlu minimum 9 input.
Tip untuk input audio
Dulu masjid pakai kaset, kemudian DVD player. DVD player leceh: kena buka tray, masukkan cakera, tunggu loading. Pemain MP3 kecil dengan port USB jauh lebih mudah dan murah. Simpan bacaan qari pilihan dalam USB, tekan play, tekan next. Kalau letak di luar bilik PA, pastikan ia selamat supaya tak hilang.
Membazir maksudnya apa
Duit masjid ialah duit kariah dan jemaah. Ia juga digunakan untuk bantuan asnaf, kelas mengaji percuma dan program lain. Jadi bila kami kata jangan membazir, maksudnya belanja pada benda yang betul. Beli peralatan yang bagus supaya bunyinya bagus. Beli murah yang akhirnya tak boleh pakai pun membazir juga. Bila nak naik taraf mixer, rancang input dari awal supaya tak perlu tukar lagi bila program masjid bertambah.
Soalan lazim
Surau kecil pun perlu 8 input?
Cadangan 8 input ini untuk masjid dan surau yang ada solat Jumaat. Surau kecil boleh guna kurang, asalkan mic imam dan mic kuliah diasingkan.
Kenapa mic kuliah perlu diasingkan dari mic imam?
Mic imam biasanya ada reverb atau echo. Untuk kuliah, efek tu buat butir percakapan jadi kabur. Input berasingan membolehkan setiap mic di-tune ikut kegunaannya.
Sebelum beli mixer baru, AJK boleh senaraikan semua mic yang digunakan sepanjang tahun, termasuk masa Ramadan, Aidilfitri dan forum. Jumlahnya, campur satu atau dua untuk simpanan, ialah bilangan input yang masjid perlukan. Muazzin AV boleh bantu rancang sistem PA masjid dan surau di Malaysia dan Singapura.
Ini Masjid Kami Jugak..!!